Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Wedding tickers

Wednesday, January 18, 2012

Sunnah Prophet Muhammad (pbuh)

Assalamualaikum Warahmatullah....

Feel like sharing something with you guys.
Please excuse that this is in Malay...

Kebaikkan Menghidupkan Sunnah
Nabi S.A.W pernah bersabda:
"Barangsiapa di akhir zaman yg menghidupkan satu dari sunnahku, maka dia akan dikurniakan pahala seperti mujahid yg berjihad dijalan Allah".
"Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepadaku, maka akan masuk syurga bersamaku".
Sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah. Ulamak berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa yang mengamalkan sunnah, dia akan mendapat dua keuntungan. Apa keuntungan itu?
1. Pahala yang berlipat ganda
2. Keberkatan
Dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun".
Hadith yang agung ini menunjukkan keutamaan besar bagi orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W, terlebih lagi sunnah yang telah ditinggalkan kebanyakkan orang. Oleh kerana itu, Imam Ibnu Majah mencantumkan hadith ini dalam kitab ‘Sunan Ibnu Majah’ pada Bab: ‘(Keutamaan) orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W yang telah ditinggalkan (manusia)’.
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari berkata, “Orang muslim yang paling utama adalah orang yang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W yang telah ditinggalkan (manusia), maka bersabarlah wahai para pencinta sunnah (Rasulullah S.A.W), kerana sesungguhnya kalian adalah orang yang paling sedikit jumlahnya (di kalangan manusia)”.


• Faedah-faedah penting yang terkandung dalam hadith ini:
Sunnah Rasulullah S.A.W adalah segala sesuatu yang bersumber dari Rasulullah S.A.W, baik ucapan, perbuatan mahupun penetapan beliau, yang ditujukan sebagai syariat bagi umat Islam.
Erti “menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W” adalah memahami petunjuk beliau S.A.W, mengamalkan dan menyebarkannya di kalangan manusia, serta menganjurkan orang lain untuk mengikutinya dan melarang dari menyelisihinya.
Orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W akan mendapatkan dua keutamaan (pahala) sekaligus, iaitu keutamaan mengamalkan sunnah itu sendiri dan keutamaan menghidupkannya di tengah-tengah manusia yang telah melupakannya. Syaikh Muhammad bih Shaleh Al-Utsaimin Rahimahullah berkata, “Sesungguhnya sunnah Rasulullah S.A.W jika semakin dilupakan, maka (keutamaan) mengamalkannya pun semakin kuat (besar), kerana (orang yang mengamalkannya) akan mendapatkan keutamaan mengamalkan (sunnah itu sendiri) dan (keutamaan) menyebarkan (menghidupkan) sunnah di kalangan manusia”.
Allah Ta’ala memuji semua perbuatan Nabi S.A.W dan menamakannya sebagai “teladan yang baik”, dalam firmanNya, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (balasan kebaikkan pada) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Al-Ahzaab:21). Ini menunjukkan bahawa orang yang meneladani sunnah Rasulullah S.A.W bererti dia telah menempuh Ash-Shirathal Mustaqim (jalan yang lurus) yang akan membawanya mendapatkan kemuliaan dan rahmat Allah Ta’ala.
Syaikh Abdurrahman As-Sa’di ketika menjelaskan makna ayat di atas, beliau berkata, “Teladan yang baik (pada diri Rasulullah S.A.W) ini yang akan mendapatkan taufik (dari Allah Ta’ala) untuk mengikutinya hanyalah orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan) di hari akhir. Kerana (kesempurnaan) iman, ketakutan pada Allah, serta mengharapkan balasan kebaikkan dan ketakutan akan seksaan Allah, inilah yang memotivasi seseorang untuk meneladani (sunnah) Rasulullah S.A.W ".

Kepentingan Sunnah Rasulullah
Dari Anas bin Malik R.A katanya, Rasulullah S.A.W telah berkata kepadaku: “Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! Kemudian beliau menyambung pula: Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga!” (Riwayat Tarmidzi)
Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakkan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi) Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah R.A. ada sedikit perbezaan, iaitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)
Thabarani dan Abu Nu'aim telah mengeluarkan sebuah Hadith Marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi S.A.W telah bersabda: Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam zaman kerosakkan ummatku akan mendapat pahala orang yang mati syahid. Hakim pula meriwayatkan dari Abu Hurairah R.A. juga bahawa Nabi S.A.W telah berkata: Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam masa perselisihan diantara ummatku adalah seperti orang yang menggenggam bara api. (Kanzul Ummal 1: 47)
Muslim pula meriwayatkan dari Anas R.A, dari Rasulullah S.A.W katanya: Orang yang tidak suka kepada sunnahku, bukanlah dia dari golonganku! Demikian pula yang dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dari Ibnu Umar R.A cuma ada tambahan di permulaannya berbunyi: Barangsiapa yang berpegang kepada sunnahku, maka dia dari golonganku.
Maka marilah kita sama-sama mengamalkan sunnah beliau dalam erti kata demi mengejar syafaat Rasulullah.
Meneladani sunnah Rasulullah S.A.W dengan kesempurnaan iman kepada Allah dan hari akhir, ini bererti bahawa semangat dan kesungguhan seorang muslim untuk meneladani sunnah Rasulullah S.A.W merupakan petanda kesempurnaan imannya.



Bangun Awal Pagi
Setelah terjaga dari tidur pada waktu paginya, ucapkanlah rasa syukur kepada Allah kerana telah memanjangkan usia lalu berdoa :
“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami . KepadaNya kami akan dibangkitkan”.
Kemudian lakukan sedikit regangan untuk melonggarkan otot-otot badan.Menyapu kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan.
Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar merekodkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan menggunaka tangan apabila bangun daripada tidur berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W:
“Rasulullah S.A.W bangun daripada tidur lalu baginda duduk sambil menyapu kesan-kesan tidur pada wayahnya.”(diriwayatkan oleh Imam Muslim).


Bersiwak
• Sejarah Penggunaan Siwak (Salvadora persica).
Penggunaan alat-alat kebersihan mulut telah dimulai semenjak berabad-abad lalu. Manusia terdahulu menggunakan alat-alat kebersihan yang bermacam-macam seiring dengan perkembangan sosial, teknologi dan budaya. Beraneka ragam peralatan sederhana digunakan untuk membersihkan mulut mereka dari sisa-sisa makanan, mulai dari tusuk gigi, batang kayu, ranting pohon, kain, bulu burung, tulang haiwan hingga duri landak. Di antara peralatan tradisional yang mereka gunakan dalam membersihkan mulut dan gigi adalah kayu siwak atau chewing stick. Kayu ini walaupun tradisional, merupakan langkah pertama transisi/peralihan kepada berus gigi moden dan merupakan alat pembersih mulut terbaik hingga saat ini.
Miswak (Chewing Stick) telah digunakan oleh orang Babilonia semenjak 7000 tahun yang lalu, yang mana kemudian digunakan pula di zaman kerajaan Yunani dan Romawi, oleh orang-orang Yahudi, Mesir dan masyarakat kerajaan Islam. Siwak memiliki nama-nama lain di setiap komuniti, seperti misalnya di Timur Tengah disebut dengan miswak, siwak atau arak, di Tanzania disebut miswak, dan di Pakistan dan India disebut dengan datan atau miswak. Penggunaan chewing stick (kayu kunyah) berasal dari tanaman yang berbeza-beza pada setiap negeri. Di Timur Tengah, sumber utama yang sering digunakan adalah pohon Arak (Salvadora persica), di Afrika Barat yang digunakan adalah pohon limun (Citrus aurantifolia) dan pohon jeruk (Citrus sinesis). Akar tanaman Senna (Cassiva vinea) digunakan oleh orang Amerika berkulit hitam, Laburnum Afrika (Cassia Sieberianba) digunakan di Sierre Leone serta Neem (Azadirachta Indica) digunakan secara meluas di benua India.
Meskipun siwak sebelumnya telah digunakan dalam berbagai macam suku dan budaya di seluruh dunia, namun pengaruh penyebaran agama Islam dan penerapannya untuk membersihkan gigi itu yang paling berpengaruh. Istilah siwak sendiri pada kenyatannya telah dipakai umum selama mana masa kenabian Nabi Muhammad yang memulai misinya sekitar 543 M. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Seandainya jika tidak memberatkan ummatku nescaya akan kuperintahkan mereka untuk bersiwak setiap akan solat (dalam riwayat lain: setiap kali akan berwudhu’).” Nabi memandang kesihatan dan kebersihan mulut adalah penting, sehingga beliau senantiasa akan menganjurkan pada isterinya untuk selalu menyiapkan siwak untuknya hingga akhir hayatnya.
Siwak terus digunakan hampir di seluruh bahagian Timur Tengah, Pakistan, Nepal, India, Afrika dan Malaysia khususnya di daerah pedalaman. Sebahagian besar mereka menggunakannya kerana faktor budaya dan sosial. Umat Islam di Timur Tengah dan sekitarnya menggunakan siwak minimum 5 kali sehari disamping mereka juga menggunakan berus gigi biasa. Penelitian yang dilakukan oleh Erwin dan Lewis (1989) menyatakan bahawa pengguna siwak memiliki relativiti yang rendah dijangkiti kerosakan dan penyakit gigi meskipun mereka mengambil bahan makanan yang kaya akan karbohidrat.






Morfologi dan Habitat Tanaman Siwak
Siwak atau Miswak, merupakan bahagian dari batang, akar atau ranting tumbuhan Salvadora Persica yang kebanyakkan tumbuh di daerah Timur Tengah, Asia dan Afrika. Siwak berbentuk batang yang diambil dari akar dan ranting tanaman arak (Salvadora persica) yang berdiameter mulai dari 0.1 cm sampai 5 cm. Pohon arak adalah pohon yang kecil seperti belukar dengan batang yang bercabang-cabang, berdiameter lebih dari 1 kaki. Jika kulitnya dikelupas berwarna agak keputihan dan memiliki banyak juntaian serat. Akarnya berwarna coklat dan bahagian dalamnya berwarna putih. Aromanya seperti ulaman dan rasanya agak pedas.
Siwak berfungsi mengikis dan membersihkan bahagian dalam mulut. Kata siwak sendiri berasal dari bahasa Arab ‘yudlik’ yang ertinya adalah mengurut (massage). Siwak lebih dari sekadar berus gigi biasa, kerana selain memiliki serat batang yang elastik dan tidak merosakkan gigi walaupun di bawah tekanan yang tinggi, siwak juga memiliki kandungan semulajadi Antimikrobial dan Antidecay System (sistem antipembusuk). Batang siwak yang berdiameter kecil, memiliki kemampuan fleksibiliti yang tinggi untuk menekuk ke kawasan mulut secara tepat dan dapat mengikis plak pada gigi. Siwak juga selesa dan sihat bagi perkembangan gusi.










Kandungan Kimia Batang Kayu Siwak
Al-Lafi dan Ababneh (1995) melakukan penelitian terhadap kayu siwak dan melaporkan bahawa siwak mengandungi mineral-mineral semulajadi yang dapat membunuh dan mencegah pertumbuhan bakteria, mengikis plak, mencegah gigi berlubang serta memelihara gusi. Siwak memiliki kandungan kimia yang bermanfaat, meliputi :
o Antibacterial Acids, seperti astringents, abrasive dan detergent yang berfungsi untuk membunuh bakteria, mencegah infeksi, menghentikan pendarahan pada gusi. Penggunaan kayu siwak yang segar pertama kali, akan terasa agak pedas dan sedikit membakar, kerana terdapat kandungan serupa mustard yang merupakan kandungan antibacterial acid tersebut.
o Kandungan kimia seperti Klorida, Pottasium, Sodium Bicarbonate, Fluorida, Silika, Sulfur, Vitamin C, Trimetilamin, Salvadorin, Tannin dan beberapa mineral lainnya yang berfungsi untuk membersihkan gigi, memutihkan dan menyihatkan gigi dan gusi. Bahan-bahan ini sering diekstrak sebagai bahan penyusun pasta gigi.
o Minyak aroma semulajadi yang memiliki rasa dan bau yang segar, yang dapat menyegarkan mulut dan menghilangkan bau kurang enak.
o Enzim yang mencegah pembentukan plak yang merupakan penyebab radang gusi dan penyebab utama tanggalnya gigi secara premature.
o Anti Decay Agent (Zat Anti Pembusukan) dan Antigermal System, yang bertindak seperti Penicilin menurunkan jumlah bakteria di mulut dan mencegah terjadinya proses pembusukan. Siwak juga turut merangsang produksi Saliva, dimana Saliva sendiri merupakan organik mulut yang melindungi dan membersihkan mulut.
Menurut laporan Lewis (1982), penelitian kimia terhadap tanaman ini telah dilakukan semenjak abad ke-19, dan ditemukan sejumlah besar Klorida, Fluorin, Trimetilamin dan Resin. Kemudian dari hasil penelitian Farooqi dan Srivastava (1990) ditemukan Silika, Sulfur dan Vitamin C. Kandungan kimia tersebut sangat bermanfaat bagi kesihatan gigi dan mulut dimana Trimetilamin dan Vitamin C membantu menyembuhkan dan membaiki jaringan gusi. Klorida bermanfaat untuk menghilangkan kekotoran pada gigi, sedangkan silika dapat bereaksi sebagai penggosok. Kemudian kewujudan sulfur dikenal dengan rasa hangat dan baunya yang khas, adapun Fluorida berguna bagi kesihatan gigi sebagai pencegah terjadinya karies dengan memperkuat lapisan enamel dan mengurangkan kelarutan terhadap asam yang dihasilkan oleh bakteria.
• Siwak sebagai Zat Antibakterial
El-Mostehy (1998) melaporkan bahawa tanaman siwak mengandungi zat-zat antibakterial. Darout Et Al. (2000) melaporkan bahawa antimikrobial dan kesan pembersih pada miswak telah ditunjukkan oleh variasi kandungan kimia yang dapat dikesan pada ekstraknya. Kesan ini dipercayai berhubungan dengan tingginya kandungan Sodium Klorida dan Pottasium Klorida seperti Salvadourea dan Salvadorine, Saponin, Tannin, Vitamin C, Silika dan Resin, juga Cyanogenic Glycoside dan Benzylsothio-Cyanate. Hal ini dilaporkan bahawa komponen ionik semulajadi yang terdapat pada spesies tanaman ini yang mengandungi agen antimikrobial yang melawan beberapa bakteria. Nitrat (NO3-) dilaporkan mempengaruhi pembawa aktif Porline pada Escherichia Coli seperti juga pada Aldosa dari E. coli dan Streptococcus Faecalis. Nitrat juga mempengaruhi pembawa aktif oksida Fosforilasi dan pengambilan Oksigen oleh Pseudomonas Aeruginosa dan Stapyhylococcus Aureus sehingga terhapus.
Menurut hasil penelitian Gazi Et Al. (1987) ekstrak kasar batang kayu siwak pada pasta gigi yang dijadikan cairan kumur, dikaji sifat-sifat antiplaknya dan kesannya terhadap komposisi bakteria yang menyusun plak dan menyebabkan penurunan bakteria gram negatif batang.
Penyusun (2005) di dalam kajian yang berjudul ‘Pengaruh Ekstrak Serbuk Kayu Siwak (Salvadora persica) Terhadap Pertumbuhan Bakteria Streptococcus Mutans Dan Staphylococcus Aureus Dengan Metode Difusi Lempeng Agar’ menemukan bahawa ekstrak serbuk kayu siwak bersifat antibakterial sedang terhadap bakteri S. Mutans dan S. Aureus.



• Siwak sebagai Oral Cleaner Device (Alat Pembersih Mulut).
Siwak sangat efektif sebagai alat pembersih mulut. Almas (2002) meneliti perbandingan pengaruh antara ekstrak siwak dengan Chlorhexidine Gluconate (CHX) yang sering digunakan sebagai cairan kumur (mouthwash) dan zat anti plak pada dentin manusia dengan SEM (Scanning Electron Microscopy). Almas melaporkan bahawa 50% ekstrak siwak dan CHX 0.2% memiliki kesan yang sama pada dentin manusia, namun ekstrak siwak lebih banyak menghilangkan lapisan lubang (Smear layer) pada dentin.
Sebuah penelitian tentang Periodontal Treatment (Perawatan gigi secara berkala) dengan mengambil sampel terhadap 480 orang dewasa berusia 35-65 tahun di kota Makkah dan Jeddah oleh para peneliti dari King Abdul Aziz University Jeddah, menunjukkan bahawa Periodontal Treatment untuk masyarakat Makkah dan Jeddah adalah lebih rendah daripada rawatan yang harus diberikan kepada masyarakat di negara lain, hal ini menunjukkan rendahnya keperluan masyarakat Makkah dan Jeddah terhadap Periodontal Treatment.
Penelitian lain dengan menjadikan serbuk (powder) siwak sebagai bahan tambahan pada pasta gigi dibandingkan dengan penggunaan pasta gigi tanpa campuran serbuk siwak menunjukkan bahawa Prosentase hasil terbaik bagi kesihatan gigi secara sempurna adalah dengan menggunakan pasta gigi dengan butiran-butiran serbuk siwak, kerana butiran-butiran serbuk siwak tersebut mampu menjangkau sela-sela gigi secara sempurna dan mengeluarkan sisa-sisa makanan yang masih bersarang pada celah-celah gigi. Hal ini yang mendorong perusahaan-perusahaan pasta gigi di dunia menggabungkan serbuk siwak ke dalam produk pasta gigi mereka. WHO (World Health Organization) turut menjadikan siwak sebagai salah satu komoditi kesihatan yang perlu dipelihara dan dibudayakan.





Bermandi
• Adab Mandi
1. Masuk dengan memakai tutup kepala dan alas kaki serta mendahulukan kaki kiri dengan membaca "Ya Allah, aku memohon perlindungan daripada syaitan jantan dan betina".
2. Menanggalkan pakaian sambil membaca do`a dalam hati.
3. Memakai basahan sebab dimanapun kita berada tidak lepas dari pandangan dan pengetahuan Allah S.W.T.
4. Mendahulukan air pada bahagian kanan badan.
5. Mandi di tempat yang tertutup.
6. Mengelap badan dengan tuala yang bersih.
7. Keluar tandas dengan kaki kanan dan berdoa "Segala puji bagiMu Ya Allah yang telah menghilangkan daripada aku kesakitan dan sihatkanku."





Berpakaian
• Mendahulukan yang kanan
Antara pemakaian Rasulullah ialah ghamis dan serban. Apabila memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: "Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.
Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: "Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya." (Riwayat Muslim).
Pakaian merupakan salah satu nikmat sangat besar yang Allah berikan kepada para hambanya, Islam mengajar agar seseorang muslim berpakaian dengan pakaian Islamiah dengan tuntunan yang telah Allah dan rasulNya ajarkan. Berikut ini adalah adab-adab berkenaan dengan berpakaian yang sepantasnya diketahui oleh seorang muslim.
Dalam redaksi muslim dikatakan, “Rasulullah menyukai mendahulukan yang kanan dalam segala urusan, ketika memakai sandal, bersisir dan bersuci.”
Menterjemah hadith di atas, Imam Nawawi mengatakan, “Hadits ini mengandungi kaedah yang betul dalam syariat, iaitu segala sesuatu yang mulia dan bernilai maka dianjurkan untuk mendahulukan yang kanan pada saat itu misalnya memakai baju dan seluar panjang, sepatu, masuk ke dalam masjid, bersiwak, bercelak, memotong kuku, menggunting kumis, menyisir rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, mengucapkan salam sebagai tanda selesai solat, membasuh anggota wudhu, keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, menyentuh hajar aswad dan lain-lain. Sedangkan hal-hal yang berlawanan dari hal yang diatas dianjurkan untuk menggunakan sisi kiri misalnya masuk tandas, keluar dari masjid, membuang hingus, istinjak, menanggalkan baju dan seluar panjang serta sepatu. Ini semua kerana sisi kanan itu memiliki kelebihan dan kemuliaan.” (Syarah Muslim, 3/131).

Minyak / Penggaya Rambut
Pakai minyak rambut dan niat ikut sunnah nabi (tidak perlu yang mahal-mahal sekadar memakai minyak zaitun.sangat mudah selepas mandi pagi). Memakai minyak rambut membuatkan kita tampak lebih kemas.Pilihlah minyak rambut yang suci untuk memakainya. Minyak rambut berasaskan herba lebih baik daripada minyak rambut berasaskan kimia kerana kurang merosakkan rambut.


Solat Sunat Dhuha
Solat Sunat Dhuha kerana ini kunci rezeki kita.
Bilangan rakaat : 2 hingga 12 rakaat (2 rakaat 1 salam)
Waktu : Pagi anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi
Niatnya:
"Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
Bacaan doa selesai solat ini :
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika ia dari dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Kebaikkan Solat Dhuha
Amalan solat dhuha yang dibuat pada waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia ( aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
Firman Allah dalam hadith Qudsi :
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha) nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya”. ( Riwayat Al-Hakim dan Thabrani ).
Bacaan solat boleh dibaca mana-mana surah yang penting. Niat kita adalah ikhlas kepada Allah S.W.T, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Daripada Abu Hurairah, sabda Nabi S.A.W :
“Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah S.A.W) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha dua rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Thabrani).
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Siapa saja yang melakukan solat dhuha secara istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan”.
Rasulullah bersabda lagi:
“Solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kekafiran (kemiskinan) dan tidak ada yang akan memelihara solat dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat”.


Beriktikaf
• Mengenali Iktikaf
Perkataan iktikaf dimaksudkan sebagai bertafakur di dalam masjid untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sesuai dengan kelapangan pelakunya tanpa had masa minimum atau maksimum.
Nabi Muhammad S.A.W ketika itu dapat melaksanakan tugasnya sebagai ketua umat masyarakat Islam Madinah walaupun dalam keadaan beriktikaf dan ini menjadi contoh umat Islam ketika itu.
Menurut seorang ustaz yang mengambil contoh dari Rasulullah S.A.W, pelbagai tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik tanpa meninggalkan kepentingan untuk beribadah.
Saban tahun, ada jemaah masjid itu yang melaksanakan ibadah iktikaf pada hari bekerja.
“Kebiasaannya mereka tidur di sini, dan pergi ke pejabat masing-masing selepas solat Subuh berjemaah, dan kembali ke masjid selepas waktu kerja, begitulah keadaannya setiap hari sehingga mereka pulang ke rumah.
“Pihak masjid turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk sesiapa sahaja yang mahu beriktikaf di sini, dan antaranya ruang khusus untuk menyimpan barang persendirian yang dipantau pihak keselamatan masjid, serta juadah untuk berbuka puasa, moreh dan sahur,” jelas beliau.
Di samping kemudahan itu, masjid berkenaan juga menyediakan kemudahan tandas dan bilik mandi yang selesa untuk jemaah serta kemudahan Internet WiFi percuma.
Terdapat juga peniaga yang menjual pelbagai keperluan harian dan ibadah, justeru para jemaah yang beriktikaf tidak perlu keluar dan masuk ke masjid untuk beriktikaf semula.



Kelebihan Iktikaf
Di antara kebaikan iktikaf ialah ia hanya boleh dilakukan di masjid. Dengan berniat untuk berada di dalam masjid juga sudah mendapat pahala untuk mereka yang melakukannya.
Iktikaf juga melatih umat Islam melawan nafsu seperti dapat mengelak daripada tertarik kepada godaan di luar seperti terpengaruh dengan aktiviti tidak berfaedah, jualan murah Hari Raya dan lain-lain.
Mereka yang beriktikaf juga akan mendapat perlindungan dan rahmat Allah kerana masjid ialah rumah Allah, justeru sesiapa sahaja yang berada di dalamnya mendapat perlindungan daripadaNya.
Seseorang itu juga akan merasa lebih dekat atau ‘taqarrub’ dengan Allah, dan akan mendapat ketenangan jiwa dalam mengharungi kehidupan.
Dengan beriktikaf di masjid, seseorang itu akan dapat memotivasi diri untuk beribadah kerana dengan meletakkan diri dalam kelompok manusia yang berlumba-lumba melakukan ibadah, individu yang beriktikaf akan mendapat galakan untuk turut melakukannya.
Tambahan lagi dengan beriktikaf, seseorang itu secara langsung mengimarahkan masjid dan menaikkan imej institusi itu di mata masyarakat, sekali gus dapat menarik lebih ramai orang untuk ke masjid.
Inilah satu bentuk dakwah secara tidak langsung yang dapat dilakukan oleh mereka yang berkunjung ke masjid.






Adab Beriktikaf
Selaku rumah Allah S.W.T, maka wajarlah sesiapa sahaja yang berada di dalamnya termasuk mereka yang beriktikaf, untuk menjaga adab di dalam masjid. Antara aspek yang sangat ditekankan ialah kepentingan menjaga kebersihan dan disiplin diri.
Sebaiknya, pastikan setiap orang menyediakan alas tidur seperti kain, tikar, atau tilam ‘toto’ untuk penjagaan kebersihan masjid, di samping memberikan keselesaan diri.
Ini selaras dengan hadith Rasulullah S.A.W yang berbunyi ‘Kebersihan itu sebahagian daripada iman’, justeru dalam usaha meningkatkan iman melalui ibadah, menjaga kebersihan juga dituntut sebagai satu daripada aspek pemantapan iman.
Selain itu, antara ibadah sunat yang dituntut ialah memasang niat iktikaf sebaik masuk ke masjid, sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan melakukan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
Apabila tidur, pastikan kaki tidak menghala ke arah kiblat dan kedudukan badan tidak mengganggu laluan umum atau keselesaan orang lain untuk beribadah. hukumnya makhruh.









Pusat Perkumpulan Umat
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah. Selain melakukan ibadah khusus, ibadah iktikaf juga adalah satu wadah untuk para jemaah saling berinteraksi dan merapatkan silaturrahim sesama muslim.
Harapan dengan rapatnya silaturrahim sesama umat Islam, pelbagai perbincangan boleh berlaku di masjid demi kebaikan masyarakat secara keseluruhannya, kerana itu adalah satu daripada fungsi utama masjid, sebagai tempat rujukan masyarakat.
Budaya positif ini perlu disemai dan dikembangkan kepada semua. Semoga semua umat Islam dapat memanfaatkan terutamanya hari-hari terakhir di bulan Ramadan dengan beriktikaf, dan budaya ini dapat diteruskan di bulan-bulan seterusnya.

Masjid Al-Nabawi



Berjalan Kaki
Berjalan kaki merupakan senaman yang paling mudah , murah dan selamat untuk dilakukan . Ia merupakan satu kaedah senaman yang sesuai bagi semua peringkat umur . Senaman ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja . Rasulullah S.A.W juga gemar berjalan kaki ke masjid , pasar , medan jihad , dan mengunjungi rumah sahabat . Ini kerana dengan berjalan kaki , peluh akan mengalir, liang roma akan terbuka dan peredaran darah akan berjalan dengan lancar . Malah , dengan berjalan kaki dapat mencengah penyakit jantung .

Adab Memakai Sandal
Sesuai dengan sunnah berkaitan dengan memakai sandal adalah memasukkan kaki kanan terlebih dahulu sebelum kaki kiri. Ketika melepas kaki kiri dulu kemudian kaki kanan. Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika kalian memakai sandal, maka hendaklah dimulai yang kanan dan bila ditanggal maka hendaklah mulai yang kiri. Sehingga kaki kanan merupakan kaki yang pertama kali diberi sandal dan kaki terakhir yang sandal dilepas darinya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
• Larangan Hanya Memakai Satu Sandal
Demikian pula seorang muslim dimakruhkan hanya menggunakan satu buah sandal. Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika tali sandal kalian putus maka janganlah berjalan dengan satu sandal sehingga memperbaiki sandal yang rosak.” (Hadith Riwayat Muslim)
Demikian pula dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda, “janganlah kalian berjalan menggunakan satu sandal. Hendaknya kedua sandal tersebut dilepas ataupun keduanya dipakai.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Perlu diketahui bahawa dua hal di atas hukumnya adalah dianjurkan dan tidak wajib. Oleh kerana itu, orang yang didapati bermasalah dengan alas kakinya kerana tali sandal putus maka hendaknya berhenti sejenak untuk memperbaiki sandal tersebut untuk melepas semua sandal lalu melanjutkan perjalanan. Tidak sepantasnya bagi seorang mukmin menyelisihkan larangan Nabi S.A.W meskipun hukumnya makruh dan tidak sampai darjat haramnya. Hendaklah kita sentiasa berlatih dan membiasakan diri kita untuk mengikuti petunjuk Nabi S.A.W mahupun secara zahir atau batin sehingga mendapatkan kemuliaan kerana ittiba’ dengan sunnah Nabi secara hakiki.
Sebenarnya, makna yang jelas dari larangan memakai satu sandal adalah menunjukkan hukum haram andai tidak terdapat pernyataan Imam Nawawi yang merujuk bahawa memakai dua sandal sekaligus itu disepakati sebagai perkara yang dianjurkan dan tidak wajib. Dalam Riyadhus Shalihin beliau memberi judul untuk hadith-hadith di atas dengan hukum makruh saja. Maka daripada hadith ini perlu dikaji dengan lebih saksama jika ternyata tidak benar maka makna jelas larangan dan berbagai penjelasan ulama tentang motif larangan ini menunjukkan bahawasanya menggunakan satu alas kaki saja itu hukumnya haram.
• Persepakatan Para Ulama Tentang Sebab Pelarangan Tersebut
Mengenai larangan berjalan dengan satu sandal, para ulama memberikan banyak keterangan tentang motif nabi S.A.W dengan larangan tersebut. Imam Nawawi menyatakan bahawa para ulama mengatakan sebab larangan tersebut adalah kerana menyebabkan pemandangan yang tidak tepat dilihat. Nampak sedikit cacat dan menyelisihkan sikap wibawa. Di samping itu, kaki yang bersandal jelas lebih tinggi daripada kaki yang lain. Hal ini tentu menimbulkan kesulitan saat berjalan. bahkan boleh jadi menyebabkan terpelosok. (Syarah Muslim, 14/62).
Sedangkan Al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul Baari, (10/309-310) mengatakan, “Al-Khithabi menyatakan bahawa hikmah larangan menggunakan satu sandal adalah kerana itu berfungsi menjaga kaki dari gangguan duri atau semisalnya yang ada di tanah. Jika yang bersandal hanya salah satu kaki maka orang tersebut harus lebih berhati-hati untuk menjaga kaki yang lain, satu hal yang tidak perlu dilakukan untuk kaki yang bersandal. Keadaan ini menyebabkan gaya berjalan orang ini tidak lagi lumrah dan tidak menutup kemungkinan dia boleh terpeleset. Ada yang berpendapat hal itu dilarang kerana tidak bersikap adil terhadap anggota badan dan boleh jadi orang yang berjalan dengan satu sandal dinilai oleh sebahagian orang sebagai orang yang akalnya bermasalah. Sedangkan Ibnul Arabi mengatakan, “Ada yang berpendapat bahawa hal tersebut terlarang kerana itu merupakan gaya syaitan berjalan. Ada pula yang berpendapat kerana sikap tersebut merupakan sikap yang tidak wajar dari lumrah. Dari sisi lain, Al-Baihaqi berpendapat bahawa hukum makruh kerana memakai satu sandal adalah disebabkan hal tersebut merupakan pemicu populariti. Banyak mata akan tertarik memandang orang yang berperilaku aneh seperti itu dan terdapat hadith yang melarang pakaian yang menyebabkan populariti terserlah kerananya segala sesuatu yang menyebabkan populariti sangat berhak untuk dijauhi.
Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya syaitan berjalan menggunakan satu sandal.” (Hadith Riwayat Thahawi dalam Musykil Al-Atsar, Al-Albani) mengatakan setelah menyebutkan sanadnya ini adalah sanad yang sahih, seluruh perawinya adalah orang-orang yang tsiqah, perawi yang dipakai dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim selain Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi namun beliau juga seorang yang berwibawa”. (Silsilah Shahihah no. 348). Dengan hadith ini jelaslah bagi kita motif dari larangan nabi untuk berjalan dengan satu sandal kerana itulah gaya berjalannya syaitan. Jika demikian, maka kita tidak perlu memaksa-maksakan diri dan mencari-cari motif pelarangan.
• Sunnah Kadang-kadang Berjalan Tanpa Alas Kaki
Namun perlu diketahui bahawa termasuk sunnah nabi adalah berjalan tanpa alas kaki kadang-kadang, dari Buraidah R.A, ada seorang shahabat Nabi S.A.W yang pergi menemui Fudhalah bin Ubaid yang tinggal di Mesir. Setelah tiba dia berkata kepada Fudhalah, “Kedatanganku ini bukanlah dengan maksud berkunjung akan tetapi aku mendengar demikian pula engkau sebuah hadith dari Rasulullah S.A.W. Aku berharap engkau memiliki ilmu tentangnya. Fudhalah bertanya, “Hadith apa yang engkau maksudkan?” Orang tadi mengatakan, “Demikian dan demikian,” Orang tersebut lalu bertanya, “Kenapa ku lihat rambutmu tidak tersisir rapi padahal engkau adalah seorang penguasa dan mengapa aku tidak melihatmu memakai sandal?” Tanya orang tersebut. Fudhalah mengatakan, “Nabi S.A.W memerintahkan kami untuk kadang-kadang berjalan tanpa alas kaki.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Dawud, dinilai sahih oleh Al-Albani).
Memotong Kuku
Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang khinzir, jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjang bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua makhluk-makhluk tersebut. Potonglah kuku anda.
Jangan ada niat simpan kuku panjang, walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking. Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak melambangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.
Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka buat onar sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong dan sebagainya . Apa ilmu pun yang di ajar pun tidak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala.

Tertib pemotongan kuku mengikut sunnah
Untuk yang bujang beringatlah jikalau hendak cari pasangan dan mahu anak yang pandai dan mendengar kata pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. InsyaAllah.
Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri. Ini tidak termasuk korek tahi hidung, telinga dan sewaktu dengannya.


Pemakaian Cincin
Sekarang ini ramai yang mamakai cincin tapi ikut suka sesedap rasa. Sunnah nabi jarang hendak ikut. Nasihat nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada Saidina Ali iaitu jikalau memakai cincin pakailah di jari:
1) jari manis
2) jari kelingking (anak jari)
dan jangan memakai pada jari:
1) jari tengah
2) jari telunjuk
Nabi Muhammad S.A.W melarang memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah kerana meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut A.S.
Perhatian: Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan.
Sila nasihatkan kawan-kawan dan juga saudara-mara ataupun anak-anak tentang kaedah yang betul untuk berhias di dalam syariat Islam, kalau tidak sia-sia sahaja kita mendapat laknat dari Allah S.W.T. Nabi S.A.W memakai cincin dan kalau kita memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Nabi S.A.W senang kita memperoleh ganjaran pahala.





Qailulah
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Lakukanlah qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani untuk melakukan qailulah”. (Riwayat Al-Thabrani).
Syaitan tidak melakukan Qailulah, oleh itu orang-orang mukmin yang melakukan Qailulah atau tidur sejenak sebelum solat Zohor selama 10-40 minit akan memperolehi kerehatan yang cukup, sehingga membolehkannya melakukan ibadat dengan sempurna sepanjang hari. Jika hendak menjadi lebih segar, fokus dan produktif, cuba praktikkan sunnah rasulullah ini dengan istiqamah.
Adalah sunat sekiranya kita sekiranya kita tidur sebentar sebelum Zohor. Tidurlah sekadar sebagaimana yang disyorkan Islam, ditunjukan oleh Nabi S.A.W iaitu tidur sebelum zohor dan selebihnya pada siang hari menguruskan pentadbiran dunia.











Kelebihan Qailulah
Mengikut kajian Dr. Norhissam dari IPKIM, 1 minit qailulah bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita di waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit qailulah, kita sudah boleh bangun solat malam tanpa rasa mengantuk. Qailulah akan memudahkan kita untuk bangun beribadah pada waktu malam yakni berqiamullail. Orang barat memanggil qailulah ini sebagai nap. Kalau bagi mereka nap biasanya dilakukan dari pukul 2 hingga ke 4 petang.Hasil kajian menunjukkan amalan nap waktu tengah hari dapat mengelakkan penyakit jantung. Menurut kajian lagi, manusia perlu berehat setelah 6 hingga 8 jam berjaga. Kita orang Islam akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk solat subuh. Kalua dikira dari waktu subuh hingga 12 atau 1 tengah hari ia sudah cukup 7 hingga 8 jam kita berjaga. Jadi qailulah atau nap ini adalah sangat-sangat berpatutan untuk dilakukan ada masa itu. Ia sangat sesuai dengan fitrah badan manusia.
Menurut kamus orang barat ramai saintis bijak pandai dan orang-orang terkenal barat mengamalkan qailulah ataupun nap ini. Menurut mereka yang istiqamah dalam mengamalkan qailulah sebaik bangkit dari qailulah, kita mungkin akan pening sedikit selama 5 hingga 10 minit tetapi selepas itu kita akan mendapati perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan fokus. Cubalah amalkan sunnah ini kerana bukan sahaja untuk kecergasan malah mendapat pahala yang besar kerana mengamalkan sunnah nabi. InsyaAllah amalan ini bagus untuk kita.








Adab Makan
1. Cara duduk
Seperti duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan. Posisi duduknya ialah peha dan lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri.
Duduk makan cara sunnah
Sebenarnya cara duduk sebegini banyak kebaikannya. Posisi ini dapat memberikan keselesaan pada perut dan ia menjaga keseimbangan komposisi ruang dalam perut kepada 3 bahagian. Iaitu 1/3 ruang adalah untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi adalah untuk air.
Ada pertanyaan, bagaimana kalau kita makan atas kerusi dan meja? Bagaimana hendak duduk cara sunnah? Jikalau makan atas kerusi dan meja, tidak dapat berkesempatan ikut sunnah. Sebab kalau ikut sunnah, makan kena atas lantai. Barulah boleh duduk cara sunnah ini.
Kalau ditanya mana satu lebih baik antara makan atas lantai ikut cara sunnah atau makan atas kerusi dan meja, maka pastikan jawapan tentunya cara sunnah yang paling bagus. Sebab di situ ada ganjaran pahala dan keberkatannya. Jadi terpulanglah pada masing-masing untuk amalkan.
2. Makan menggunakan tangan
Bukan guna sudu dan garfu, bukan guna chopstick tetapi guna tangan kanan. Ada kajian membuktikan bahawa, pada tangan atau jari kita ini, ada enzim yang 10 kali ganda lebih banyak dari enzim yang ada dalam air liur. Enzim ini berguna untuk mencerna makanan.
Makan dengan menggunakan 3 jari.
Adapun ramai yang bertanya akan bagaimana hendak makan dengan 3 jari sahaja? Dikatakan susah kalau hendak memakan nasi. Ketika nabi dulu baginda banyak makan roti dan buah kurma, buah citrus dan seumpamanya. Kita telah diciptakan sebaik-baik umat dari sebaik-baik kejadian. Maka haruslah kita berikhtiar dengan sebaiknya juga untuk mencontohi sunnah.
Jika hendak amalkan tidaklah sesusah mana seperti yang digebangkan. Orang-orang Cina juga makan menggunakan chopstick yang terdiri daripada 2 batang kayu sahaja. Lantas dengan gaya bersahaja yang tersendiri mereka pun makan. Jadi bagaimana boleh kata susah untuk makan menggunakan 3 jari?
Saranan kepada mereka yang hendak mula mengamalkan sunnah ini, gunakan 3 jari pada suapan pertama dahulu. Selepas lama dan menjadi terbiasa bolehlah diamalkan seperti biasa.
4. Apabila nampak makanan, disunatkan baca doa sebelum makan.
5. Sebelum makan, disunnahkan untuk basuh kedua belah tangan dan juga berkumur-kumur.
Ada banyak kelebihan bagi mereka yang mengamalkan perbuatan membasuh tangan dan berkumur ni.
6. Sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut, sila baca doa berkat.
7. Selepas selesai makan, kita disunnahkan untuk menjilati jari-jari kita yang digunakan untuk mengambil makanan tadi.
Hikmah kepada perbuatan ini, kandungan enzim yang ada pada tangan dan jari kita tadi akan makin cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.
8. Makan dalam satu dulang yang sama secara berjemaah.
Sebenarnya cara ini akan meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita. Kalau suami isteri boleh amalkan makan dalam satu dulang, insyaAllah kemesraan akan lebih dapat dirasai dan kita akan jadi lebih saling faham memahami dan saling bertolak ansur. Amalan makan satu dulang ini juga dapat mengelakkan sebarang pembaziran.
9. Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.
Ayat di atas seperti senang diamalkan tetapi hakikatnya susah hendak diamalkan. Kebiasaannya kita akan makan mengikut nafsu. Selagi tidak kenyang selagi itu kita akan mengunyah sepanjang masa. Hendaknya pula kalau kita makan di hotel-hotel atau restoran-restoran yang menyediakan hidangan secara buffet. Sehingga buncit menghampiri pecah perut, barulah kita berhenti makan. Ada kebenarannya? Tidak ditujukan pada orang lain sebab diri sendiri pun terkadang juga.
Semoga kita sama-sama dapat amalkan makan ikut cara sunnah Nabi S.A.W ini yang sangat-sangat penting sebenarnya sebab kita akan makan hari-hari sekurang-kurangnya 3 kali sehari.
Kalau kita makan tidak ikut sunnah, maka kita hanya makan macam ikut adat saja. Seperti unta dan kambing makan yakni makan sebab lapar dan sebab hendak penuhi nafsu makan kita.

Nasi Arab





Berbekam
Menurut Abu Daud, Nabi Muhammad S.A.W berkata:
“Barang siapa berbekam pada hari 17, 19 dan 21 pada setiap bulan, itu adalah penawar baginya daripada penyakit-penyakit”.
Apa itu bekam? Ia adalah proses mengeluarkan darah kotor bagi tujuan kesihatan. Dalam ilmu perubatan moden, darah kotor adalah venous blood yang mengandungi karbon dioksida dan bahan kumuh yang lain. Pendekatan bekam Nabi S.A.W pula diistilahkan sebagai periodic phlebotomy di mana darah kotor dikeluarkan secara beransur-ansur. Kontroversi bekam terjadi di Eropah apabila darah dikeluarkan dengan banyaknya sekali gus. Ini boleh mengakibatkan maut.

• Bekam Cara Nabi
 Nabi berbekam di bahagian kepala dan antara 2 bahu baginda.
 Berbekam secara berkala pada setiap bulan.
 Gunakan peralatan yang bersih untuk mengelakkan jangkitan kuman atau virus.
 Jangan berbekam jika ada masalah proses pembekuan darah.

Baguskah bekam?
Hereditary Haemochromatosis, sejenis penyakit keturunan di mana zat besi berkumpul dalam organ terutamanya hati boleh dirawat dengan menggunakan bekam. Bekam juga membantu melambatkan proses kerosakan hati dalam penyakit kronik Hepatitis C yang disebabkan oleh virus Hepatitis C itu sendiri. Lagi bukti? Kajian menunjukkan ada kaitan antara penyakit jantung dan kadar zat besi dalam darah seseorang. Semakin tinggi kandungan zat besi, semakin tinggi risiko untuk diserang sakit jantung. Sebab itulah pendermaan darah dan berbekam secara berkala boleh mengurangkan risiko sakit jantung jika dibandingkan dengan mereka yang lain.

• Faedah Berbekam Untuk Kesihatan
 Berbekam baik untuk jantung.
 Derma darah dapat membantu pesakit yang memerlukan darah.
 Kenal pasti status kesihatan diri kerana darah adakalanya diuji (screening test).
Menurut Abu Daud, Kabshah binti Abu Bakar melaporkan daripada bapanya, pada suatu ketika Nabi menghalang sahabat-sahabat baginda daripada berbekam kerana pada masa itu baginda khuatir pendarahan tidak akan berhenti.
Iktibarnya, jika kemudaratan berbekam mengatasi kebaikannya, ia hendaklah dihindari.
Berbekam elok untuk dilakukan oleh kaum lelaki kerana secara fitrahnya, perempuan mempunyai kitaran haid setiap bulan di mana darah kotor juga dikeluarkan.

Fakta Bekam
• Bekam Basah
Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit dengan menggunakan jarum yang tajam. Darah toksik dikeluarkan dengan menggunakan alat pengamal bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik mengambil masa 3 hingga 5 minit. Darah toksik dikenalpasti berdasarkan warna darah atau berbuih. Mereka yang berbekam dinasihati untuk tidak mandi 3 jam selepas berbekam.

• Bekam Kering
Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik. Biasanya orang tidak akan tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira 3 hari.

• Waktu Berbekam
Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa berbekam paling baik dilakukan pada pertengahan bulan kerana ketika ini, darah toksik berhimpun. Bagaimanapun bekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk mengubati penyakit. Mereka yang hendak berbekam dinasihati untuk tidak makan atau berpuasa dalam 2 jam sebelum berbekam.

Kebaikkan Berbekam
 Menghilangkan pening dan migrain.
 Membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
 Memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
 Memulihkan ketegangan pada urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
 Mencegah kebas kaki dan meredakan angin ahmar.
 Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
 Meringankan tubuh. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas.
 Membantu menajamkan penglihatan. Peredaran darah ke mata yang tersumbat menyebabkan kabur.






• Alat Bekam
Pada zaman abi Muhammad S.A.W, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk berbekam. Manakala orang Cina pada zaman kuno menggunakan tanduk. Orang Eropah pada abad ke-18 menggunakan lintah untuk menghisap darah toksik dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat hingga sekarang.
Ketika masih ada pengamal bekam menggunakan kaedah tradisional, perubatan bekam mula menerapkan unsur moden melalui penggunaan alat seperti mangkuk, pisau pembedahan, bahan antiseptik, manakala pengamal bekam menggunakan sarung tangan yang sama seperti pengamal perubatan moden.

• Larangan Berbekam
Tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan. Mereka termasuk yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, masalah kulit yang serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar mahupun kenyang.
Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.




Adab Tidur
Adab Islami sebelum tidur yang seharusnya tidak ditinggalkan oleh seorang muslim adalah sebagai:
• Tidurlah dalam keadaan berwudhu. Hal ini berdasarkan hadith Al Baro’ bin ‘Azib, Nabi S.A.W bersabda: “Jika kamu mendatangi tempat tidurmu maka wudhulah seperti wudhu untuk solat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu” (Hadith Riwayat Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710)
• Tidur berbaring pada sisi kanan. Hal ini berdasarkan hadith di atas. Adapun manfaatnya sebagaimana disebutkan oleh Ibnul Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak kesusahan untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat pada jantung. Sedangkan tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun membuat seseorang semakin malas)” (Zaadul Ma’ad, 1/321-322).
• Meniup kedua telapak tangan sambil membaca surah Al Ikhlas, surah Al Falaq dan surah An Naas masing-masing sekali. Setelah itu mengusap kedua tangan tersebut ke wajah dan bahagian tubuh yang dapat dijangkau. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. Inilah yang dicontohkan oleh Nabi S.A.W sebagaimana dikatakan oleh isterinya Aisyah.
Dari AisyahR.A berkata:
“Nabi S.A.W ketika berada di tempat tidur di setiap malam, beliau mengumpulkan kedua telapak tangannya lalu kedua telapak tangan tersebut ditiup dan dibacakan (surah Al Ikhlas), (surah Al Falaq) dan (surah An Naas). Kemudian beliau mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Beliau melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.” (Hadith Riwayat Bukhari no. 5017). Membaca Al Quran sebagaimana yang dicontohkan oleh nabi S.A.W ini lebih menenangkan hati dan fikiran daripada sekadar mendengarkan alunan muzik.



• Membaca ayat kursi sebelum tidur.
Dari Abu Hurairah R.A berkata,
Rasulullah S.A.W menugaskan aku menjaga harta zakat Ramadhan kemudian ada orang yang datang mencuri makanan namun aku merebutnya kembali, lalu aku katakan, “Aku pasti akan mengadukan kamu kepada Rasulullah S.A.W” . Lalu Abu Hurairah R.A menceritakan suatu hadith berkenaan masalah ini. Selanjutnya orang yang datang kepadanya tadi berkata, “Jika kamu hendak berbaring di atas tempat tidurmu, bacalah ayat Al Kursi kerana dengannya kamu selalu dijaga oleh Allah Taala dan syaitan tidak akan dapat mendekatimu sampai pagi“. Maka Nabi S.A.W bersabda, “Benar apa yang dikatakannya padahal dia itu pendusta. Dia itu syaitan“. (Hadith Riwayat Bukhari no. 3275)
• Membaca doa sebelum tidur
Dari Hudzaifah berkata:“Apabila Nabi S.A.W hendak tidur, beliau mengucapkan: (Dengan namaMu, Ya Allah aku mati dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “ (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepadaNyalah tempat kembali).” (Hadith Riwayat Bukhari no. 6324)
• Hendaklah membiasakan tidur di awal malam (tidak sering tidur larut malam) jika tidak ada kepentingan yang bermanfaat.
Diriwayatkan dari Abi Barzah beliau berkata:“Rasulullah S.A.W membenci tidur sebelum solat Isyak dan waktu-waktu setelahnya.” (Hadith Riwayat Bukhari no. 568)
Ibnu Baththol menjelaskan, “Nabi S.A.W tidak suka berurusan setelah solat Isyak karena beliau sangat ingin melaksanakan solat malam dan khuatir jika sampai luput dari solat subuh berjamaah. ‘Umar bin Al Khattab sampai-sampai pernah memukul orang yang berurusan setelah solat Isyak, beliau mengatakan, “Apakah kalian sekarang berurusan di awal malam, nanti di akhir malam tertidur lelap!” (Syarh Al Bukhari, Ibnu Baththol, 3/278, Asy Syamilah).


Petua Tidur Rasulullah S.A.W
Sekiranya kita tidur mengikut sunnah Rasullullah S.A.W, maka tidurnya akan jadi ibadah. Allah S.W.T hanya akan menerima ibadah yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah S.W.T untuk orang yang mengamalkan sunnah sangat besar. Satu sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga.
Di dalam tidur sendiri ada banyak sunnah. Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi S.A.W, dia hanya akan dapat kerehatan. Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilogram tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.
• Antara sunnah-sunnah Nabi S.A.W sebelum, ketika dan selepas tidur.
o Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah S.W.T janjikan adalah syurga.
o Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.
o Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 33 kali.
o Membaca 4 Qul (An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafiruun) tiup ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia. Kemudian baca basmalah 21 kali. Barangsiapa membaca basmalah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut.
o Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah S.W.T akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.

o Ambil wudhu’ sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
o Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.
o Tidur cara Rasulullah S.A.W dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.
Banyak lagi sunnah Nabi S.A.W yang boleh diamal, semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur. Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.
Pesan Nabi S.A.W, dilarang tidur meniarap terutama lelaki. Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.
Tutup aurat ketika tidur. Kenapa? Lelaki yang tidur meniarap, dibawahnya syaitan atau jin betina. Tidur secara berbogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan malaikat rahmat dan mengundang makhluk lain. Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa, syaitan atau jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih syaitan atau jin. Jadi jangan marah kalau anak-anak ikut perangai “bapa-bapa angkat” mereka ketika bersetubuh dulu.

Anak kecil tidur


Islam Menganjurkan Tidur
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi telah bersabda : “Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri”.
Islam mementingkan tidur dan rehat agar ibadat dan aktiviti seharian dapat dilakukan dengan baik dan seimbang . Malah tidur dapat menentukan kesihatan dan menghasilkan kecergasan dalam diri seseorang . Bukan seperti itu sahaja , tidur bagi seorang muslim juga dikira sebagai satu ibadat sekiranya ia memenuhi adab-adab dalam Islam antaranya : -
• Berwuduk
Sebaik-baik gosok gigi anda sebelum masuk tidur . Malah biasakan diri untuk mengambil wuduk sebelum tidur kerana menjadi amalan yang sangat dirahmati . InsyaAllah tidur anda akan sentiasa dilindungi daripada gangguan syaitan dan iblis .
• Perut Tidak Terlalu Kenyang
Elakkan tidur sewaktu kekenyangan. Pastikan perut anda tidak terlalu kenyang ketika mengambil makan malam. Bukan sahaja tidak elok untuk kesihatan malah boleh menyebabkan perut anda cepat rasa sebu. Perut yang kenyang juga boleh menyebabkan anda cepat berasa mengantuk mahupun menghadapi masalah sukar untuk bangun.
• Mengingati Kesilapan
Sebaik sahaja anda meletakkan kepala ke bantal, cuba anda ingat semula perkara yang telah anda lakukan sepanjang seharian . Sekiranya anda melakukan perkara-perkara yang baik , tingkatkan keazaman untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik . Tetapi sekiranya anda banyak melakukan kesilapan dan perbuatan mungkar, berazamlah untuk berubah dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T.

• Membaca Doa dan Surah Tertentu
Ketika ingin melelapkan mata , amalkan membaca doa atau surah-surah tertentu terlebih dahulu . Pastikan kedudukan tidur anda mengiring ke kanan dan seeloknya menghadap ke kiblat .
• Rasulullah S.A.W sering mengamal membaca surah Al Ikhlas , Al Falaq dan Al-Nas dan kemudiannya dihembuskan bacaan itu di kedua-dua belah tangannya lalu digosok ke seluruh badannya di mana tangannya dapat sampai. Bacaan dan perbuatan baginda ini diulang sebanyak tiga kali berturut-turut .
• Berazam Untuk Bangun Awal
Anda juga digalakkan untuk membaca surah Al-Kausar sebanyak tiga kali sambil berniat di dalam hati mahu bangun awal. Berazam untuk bangun awal bagi membersihkan diri dan menunaikan solat subuh .
 Bangun Pagi
Setelah terjaga dari tidur pada waktu paginya , ucapkanlah rasa syukur kepada Allah kerana telah memanjangkan usia lalu berdoa : “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami dan kepadaNya kami akan dibangkitkan”. Kemudian lakukan sedikit regangan untuk melonggarkan otot-otot badan.
Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Bagi memperjelaskan lagi dengan dalil, eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi S.A.W dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad S.A.W.
Antara hadith yang menerangkan adab tidur Nabi S.A.W adalah sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: “Jika kamu akan tidur maka berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)”.

Dalam sebuah hadith diterangkan: Al-Barra’ bin Azib berkata: “Adalah Rasulullah S.A.W jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian baginda membaca: Maksudnya: “Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu dan menyandarkan belakangku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan nabi yang telah Engkau utus.” – (Hadith riwayat Bukhari).
Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin ‘Azib, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila berbaring di tempat tidurnya, baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: “Ya Tuhanku, peliharalah aku dari azabMu pada hari Kau bangkitkan seluruh hambaMu).” (Hadith riwayat At-Tirmidzi).
Hudzaifah pula meriwayatkan: “Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka baginda berdoa: “Allahumma Ya Allah, dengan AsmaMu aku mati dan aku hidup”. Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepadaNya tempat kembali”. (Hadith riwayat. At-Tirmidzi).
Menurut Ummul Mukminin Aisya yang berkata: “Apabila Rasulullah S.A.W berbaring di tempat tidurnya, baginda akan menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali”. – (Hadith riwayat At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).
Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: “Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu.”(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Arahan Nabi dalam hadith ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah S.A.W juga pernah mengubah kedudukan tidur baginda. Dalam hadith yang sahih ini, Rasulullah sudah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagai mana maksud hadith:“Daripada ‘Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah S.A.W tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain”.(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadith yang merujuk kepada tegahan Nabi S.A.W. Hadith ini bermaksud : “Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam atau pun tidur siang. “Sesungguhnya (posisi tidur telungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla.” (Hadith riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah S.W.T.
Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak. Menurut Ab Aziz bin Fathi As-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi S.A.W dan salafussoleh ialah:
 Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.
 Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.
 Tidur dalam keadaan suci.
Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadith yang yang bermaksud: Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan Al- Hakim).
Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah berpandukan ke pada hadith riwayat Ahmad yang bermaksud: “Orang yang tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.
Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan basmalah seperti riwayat al-Tirmizi.
Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.
Sebagai kesimpulannya terdapat beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat redhaNya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadith adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan telungkup.

Larangan Tidur Selepas Subuh
Bila masuk waktu Subuh, terus bersembahyang. Bagi seorang mukmin yang patuh kepada syariat, sembahyang lima waktu akan dilakukan secara berjemaah, sama ada di rumah bersama anak isteri dan kaum keluarga ataupun bersama umat Islam lainnya di masjid atau surau. Namun tetaplah dia berusaha untuk solat berjemaah setiap waktu.
Setelah bersembahyang Subuh, selesai segala wirid, zikir serta doa, tibalah masa untuk bekerja. Boleh bersarapan dahulu atau terus bekerja. Islam tidak menetapkan waktu untuk bekerja mesti bermula jam 8.00 atau 9.00 pagi. Sebaik-baiknya ialah bekerja sebaik sahaja selepas solat Subuh.
Namun budaya kerja selepas subuh kini hampir luput daripada jadual hidup umat Islam. Kecuali mungkin di kalangan penoreh getah atau nelayan. Itupun atas dasar mencari rezeki kerana bimbang jika terlambat, nanti hasil berkurang. Kerana itu kita lihat kerana bekerja itu, ramai yang tertinggal sembahyang subuh.
Sabda Rasulullah S.A.W: "Berpagi-pagi itu barakah". Masa dua jam selepas subuh adalah masa yang berkat yang tidak boleh disia-siakan. Sebab itu tidur selepas subuh adalah dilarang kerana ia 'mewarisi' kepapaan. Mungkin papa harta, papa ilmu atau seumpamanya. Bila dikatakan papa, maknanya apa yang ada pada seseorang itu telah hilang atau dia tidak memperolehi sesuatu yang baru. Usaha yang dibuatnya pula kurang berhasil atau tidak berhasil sama sekali. Produktiviti kerjanya menurun.
Menurut pandangan ahli psikologi, orang yang tidur selepas subuh atau bangun lewat (setelah matahari terbit) tidak dapat menikmati hidupnya dengan ceria dan sempurna. Ini kerana dia mengalami suatu kejutan. Dia tidak mengalami perubahan dari gelap malam kepada cerah waktu siang itu secara natural. Kerana itu ramai yang tergesa-gesa atau mudah marah akibat daripada terlewat bangun atau tidur semula selepas subuh. Sikap tergesa-gesa dan mudah marah itu akan terbawa-bawa pula dalam seluruh kehidupannya hari itu. Logiklah bahawa orang yang tidur selepas subuh itu mewarisi papa, hilang sesuatu yakni keberkatan hidup.
Oleh itu, masa selepas solat subuh elok diisi dengan mula bekerja. Menjelang waktu rehat atau sarapan pagi, eloklah kalau dapat bersembahyang sunat dhuha. Menjelang waktu Zohor (antara 12.00 ke 1.00 tengahari) sunat tidur sekejap, waktu qailulah namanya. Ini bertujuan untuk menyediakan diri untuk beribadah malam. Kecuali ada hal yang mendatang seperti ada temujanji yang mendadak atau ada tetamu yang datang. Ada pihak yang beranggapan tidur qailulah menyebabkan umat Islam mundur. Sebenarnya di sinilah kelebihannya mengapa umat Islam disuruh bekerja selepas subuh kerana tempoh dua jam selepas subuh itu waktu yang paling segar jika dibandingkan dengan dua jam menjelang Zohor (waktu yang disunatkan tidur qailulah).
Waktu selepas subuh dikatakan segar kerana jiwa, fikiran dan fizikal masih segar dan belum digunakan atau belum letih. Waktu itulah yang paling elok untuk memulakan kerja. Sedangkan jika mula bekerja pada pukul 8.00 pagi apalagi menjelang Zohor, waktu itu jiwa, akal dan fizikal sudah letih. Namun sebenarnya bagi mereka yang mula bekerja jam 8.00 pagi, jiwa, akal dan fizikal mereka sudahpun mula bekerja selepas subuh. Ertinya tenaga telah digunakan sebelum bekerja. Dari segi kualiti masa, dua jam selepas subuh itu lebih berharga daripada dua jam sebelum Zohor. Tidur menjelang Zohor membantu mendapat kesegaran pada waktu siang dan membantu untuk bangun malam beribadah. Selepas Zohor, barulah luangkan masa untuk makan atau menyambung kerja.


Larangan Tidur Selepas Asar
Selepas Asar, hukumnya makruh tidur kerana mewarisi gila atau menyebabkan lemah berfikir. Kecuali sekali sekala apabila sakit atau terlalu mengantuk. Masa selepas Asar bolehlah digunakan untuk berehat.
Setengah ulama mengatakan:
"Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri”.
Sebaiknya waktu petang digunakan untuk beriadah yakni melakukan aktiviti atau sukan yg boleh mengeluarkan peluh. Terdapat juga hikmah mengapa dilarang tidur selepas asar. Ini adalah kerana pada waktu petang hingga maghrib ialah waktu nyamuk aktif berkeliaran dan menghisap darah mangsanya. Terutama nyamuk Aedes yang popular dengan penyakit Dengginya yang boleh membawa maut.
Sukan penting memastikan badan kita sihat. Jikalau kita tidak bersukan, pastinya badan kita akan mudah dijangkiti penyakit. Sukan adalah penting dalam kehidupan kita.Namun ramai orang tetap mengabaikannya dan tidak melihatnya sebagai sebahagian dalam kehidupan kita.
Para pelajar masa kini lebih suka duduk di rumah menonton televisyen dan bermain permainan video. Mereka menganggap aktiviti itu lebih menyeronokkan berbanding bersukan. Terdapat juga pelajar-pelajar yang lebih mementingkan pelajaran berbanding bersukan tanpa menyedari bahawa mereka perlu menyeimbangkan kedua-duanya.
Apabila seseorang pelajar itu bersukan, mereka akan lebih mudah menerima pelajaran. Hal ini kerana apabila mereka bersukan, otak mereka akan mereka akan menjadi lebih cerdas dan dapat menerima pelajaran mereka dengan baik. Pelajar-pelajar ini boleh melakukan aktiviti bersukan dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang ada di sekolah seterusnya dapat menambahkan lagi pelbagai jenis pengetahuan mengenai sukan.
Selain itu, kehidupan masyarakat kini yang sibuk mencari rezeki juga telah menyebabkan ramai orang tidak mempunyai masa untuk bersukan. Lama-kelamaan, mereka akan biasa dengan tabiat hidup yang tidak bersukan. Ada juga menganggap bahawa bersukan adalah satu aktiviti yang membuang masa.
Kesedaran rakyat negara ini dalam mengamalkan gaya hidup sihat begitu membimbangkan apabila daripada kira-kira 25 juta jumlah penduduk, tidak sampai 10 peratus yang aktif bersukan. Berbanding negara lain seperti di Barat, penduduk negara ini sedia maklum mengenai kepentingan bagi menjalani kehidupan lebih sihat tetapi mereka tidak melaksanakannya.
Sebenarnya, hal ini harus diberi perhatian oleh semua pihak,kerana masyarakat masa kini banyak yang mengamalkan tabiat hidup yang buruk seperti merokok, minum arak, makan makanan yang berkolesterol tinggi, serta makanan yang berlemak. Semua tabiat hidup di atas adalah buruk dan akan membahayakan kesihatan badan kita.
Oleh itu, ingin ditegaskan di sini bahawa bersukan adalah penting untuk memastikan kehidupan kita sihat. Sesibuk mana pun kita, bersukan tidak bolehlah diabaikan untuk kepentingan kesihatan kita. Janganlah apabila sudah dijangkiti penyakit barulah hendak bersukan, bak kata pepatah “sudah terhantuk baru terngadah”.









Bertahajud
Kemulian seorang mukmin terletak pada tahajudnya.
Sebuah rahsia penting yang ingin dikupas dalam tajuk ini. Sebuah rahsia yang maha dahsyat bila anda istiqamah melaksanakan solat sunat Tahajud. Solat yang dilaksanakan sepertiga malam dengan penuh keheningan, kerana di saat itu banyak orang yang bertidur lelap.
Pada saat itulah sebaiknya bangun dari tidur. Mengambil air wudhu lalu melaksanakan solat sunat Tahajud. Boleh anda laksanakan 2 rakaat ditutup dengan witir 1 rakaat. Boleh juga 8 rakaat dan ditutup dengan witir 3 rakaat. Bila anda sanggup, boleh juga sampai 23 rakaat.
Namun, yang paling penting adalah konsisten dalam pelaksanaannya. Lebih baik melaksanakan solat tahajud dengan rakaat yang sedikit tapi dilakukan tiap malam, daripada banyak rakaatnya tapi tidak selalu. Perlu konsisten dan memiliki komitmen yang tinggi dalam diri.
Hal terpenting dari solat tahajud adalah merenungi hidup ini, melakukan muhasabah di hari kelmarin dan memohon ampunan kepada Allah dengan seraya beristighfar dengan penuh kekhusyukan. Memohon diberikan kemudahan dalam melaksanakan aktiviti esok hari, dan yang lebih penting berdoa kepada Allah agar di lapangkan rezeki.
Rahsia solat tahajud mungkin sudah pernah dapat dirasakan. Didatangkan berbeza-beza caranya. Ada yang cepat, dan ada yang lambat. Tergantung pada redha Allah, dan cara kita berdoa. Terkadang kita sering terlupa bahawa doa adalah permohonan dan permintaan hambaNya yang memasrahkan dirinya agar diampuni dosanya, diberikan kemudahan hidup di dunia dan akhirat kelak. Merendahkan diri dihadapan penguasa langit dan bumi.
Semoga Allah mengabulkan doa-doa hambaNya yang berserah diri pada saat-saat keheningan sepertiga malam dengan melaksanakan solat sunah tahajud. Oleh kerana itu, jangan lupa pula untuk selalu sedar diri bahawa akan ada hidup sesudah mati. Di dunia ini kita hanyalah seorang pengembara yang singgah sebentar, lalu pergi kembali.

Solat Tahajud adalah solat malam (sholatullail). Bila kita dapat senantiasa melaksanakan solat ini, nescaya kita akan selalu dekat dengan Allah S.W.T dan dimudahkan segala keinginan dalam hidup kita.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat ( waktu ). Seandainya seorang muslim meminta suatu kebaikan didunia mahupun diakhirat kepada Allah S.W.T, nescaya Allah S.W.T akan memberinya. Dan itu berlaku setiap malam”.(Hadith Riwayat Muslim ).
Di hadith yang lain, Rsulullah S.A.W bersabda:
“Pada tiap malam Tuhan kami turun (ke langit dunia ) ketika tinggal sepertiga malam yang akhir. Ia berfirman:“ Barang siapa yang menyeruKu, akan Aku perkenankan seruannya. Barang siapa yang meminta kepadaKu, Aku perkenankan permintaanya. Dan barang siapa meminta ampunan kepadaKu, Aku ampuni dia”.(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim )

Waktu Perlaksanaan Solat Tahajud
Solat Tahajud harus dilaksanakan setelah tidur. Meskipun waktu pelaksanaanya ditetapkan sejak waktu isyak hingga subuh, waktu yang afdhal(waktu utama) untuk melaksanakannya adalah:
o 1/3 malam pertama (selepas Isyak hingga jam 2200 )
o 1/3 malam kedua ( jam 2200 hingga jam 0100 )
o 1/3 malam terakhir ( jam 0100 sehingga subuh )
Abu Muslim bertanya kepada Abu Dzar :“ Diwaktu manakah yang lebih utama kita mengerjakan solat malam?”. Abu Dzar menjawab: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W sebagaimana engkau tanyakan kepadaku ini”. Rasulullah S.A.W bersabda: “Perut malam yang masih tinggal adalah 1/3 yang akhir. Sayangnya sedikit sekali orang yang melaksanakannya”. (Hadith Riwayat Ahmad).
Jadi waktu yang paling afdhal sehingga keinginan atau doa kita ijabah (dikabulkan) adalah 1/3 malam yang terakhir.

• Jumlah Rakaat dalam Solat Tahajud
Rakaat dalam solat malam (Tahajud) tidak dibatasi jumlahnya, tetapi paling sedikit dilaksanakan dalam 2 rakaat. Adapun jumlah yang paling utama adalah 11 rakaat atau 13 rakaat, dengan 2 rakaat solat Iftitah.
Tatacara (Kaifiat) mengerjakannya yang baik adalah setiap 2 rakaat diakhiri satu salam. Sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah S.A.W: “Solat malam itu, dua-dua”. (Hadith Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim ).
Menurut keterangan Said Ibnu Yazid, Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan solat malam 13 rakaat dengan tatacara sebagai berikut :
1) 2 rakaat solat Iftitah.
2) 8 rakaat solat Tahajud.
3) 3 rakaat solat witir.
Adapun surah yang dibaca dalam solat Tahajud adalah:
1. Pada rakaat pertama setelah surat Al-Fatihah, membaca surah Al-Baqarah ayat 284-286.
2. Pada rakaat kedua setelah membaca surat Al-Fatihah, membaca surah Ali Imran 18-19 dan 26-27.






Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa marilah kita sama-sama mengamalkan sunnah beliau dalam erti kata demi mengejar syafaat Rasulullah. Meneladani sunnah Rasulullah S.A.W dengan kesempurnaan iman kepada Allah dan hari akhir, ini bererti bahawa semangat dan kesungguhan seorang muslim untuk meneladani sunnah Rasulullah S.A.W merupakan petanda kesempurnaan imannya. Orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W akan mendapatkan dua keutamaan (pahala) sekaligus, iaitu keutamaan mengamalkan sunnah itu sendiri dan keutamaan menghidupkannya di tengah-tengah manusia yang telah melupakannya. Erti menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W adalah memahami petunjuk beliau S.A.W, mengamalkan dan menyebarkannya di kalangan manusia, serta menganjurkan orang lain untuk mengikutinya dan melarang dari menyelisihinya. Sunnah Rasulullah S.A.W adalah segala sesuatu yang bersumber dari Rasulullah S.A.W, baik ucapan, perbuatan mahupun penetapan beliau, yang ditujukan sebagai syariat bagi umat Islam. Sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah. Ulamak berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Sesiapa yang mengamalkan sunnah, dia akan mendapat dua keuntungan. Keuntungan yang berbentuk pahala yang berlipat ganda dan keberkatan. InsyaAllah atas apa yang telah disampaikan ini dapatlah kita ambil sedikit sebanyak iktibar, amalkan secara istiqamah sunnah-sunnah seharian dan sampaikan pada umat Islam sesame kita yang lain.


kudos to Muhammad Fahmi :D

1 comments:

Unknown said...

Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakkan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi) Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah R.A. ada sedikit perbezaan, iaitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44) maaf tolong jelaskan adakah dua2 hadis tuh hadis sahih? kalau hadis sahih knapa ada perbezaan

Post a Comment